Kisah Ikan Buat Ramai Insaf, Alif Satar Nasihat Selalu Syukuri Rezeki. | AMANZING NARA : Penyanyi dan pelakon terkemuka negara, Alif Satar sentiasa menjadi perhatian ramai terutama apabila beliau telah menggerakkan Geng Subuh Macam Jumaat yang mendapat sambutan di seluruh negara.
Baru-baru ini, Alif juga telah berkongsi kisah menginsafkan mengenai ikan yang dimakannya. Pelakon yang berusia 34 tahun itu telah berkongsi kisah tersebut di laman Instagram miliknya (@alifsatar) baru-baru ini.
“Hari ini, aku nak kisahkan kisah mengenai ikan dan rezeki,” ujar Alif sewaktu ingin memulakan ceritanya.
BERLAKU SEBELUM KAHWIN
Menurutnya, kisah ini berlaku ketika beliau masih belum berkahwin dan sedang menjalani penggambaran bagi satu drama. Ketika kisah ini berlaku, Alif sedang menjamah hidangan ikan ketika waktu rehat di set penggambaran drama terbabit.
Pelantun suara ‘Lelaki Seperti Aku (2011)’ itu memiliki tabiat memakan ikan yang mana beliau gemar menghabiskan keseluruhan ikan.
Beliau akan memastikan tiada isi ikan yang masih tersisa pada ikan yang dijamahnya dan hanya meninggalkan bahagian yang tidak dapat dimakan seperti tulang.
Kelakuan Alif ketika menjamah ikan itu telah dilihat oleh salah seorang kru penggambaran drama tersebut dan kru terbabit merasa hairan dengan tindakannya.
Oleh sebab merasa hairan, kru yang dipanggil sebagai Hamba Allah itu telah mempersoalkan tindakan pelakon itu.
Alif menjelaskan bahawa dirinya memang suka memastikan ikan yang dimakannya licin. Bak kata Alif, perkara ini dapat memberikan rasa puas hati kepadanya ketika menjamah hidangan akuatik itu.
RESPON KRU PENGGAMBARAN
Namun, respons yang diberikan oleh kru penggambaran itu menyebabkan Alif ingat sehingga bila-bila.
“Kita dengan mak kita (merujuk dirinya) makan ikan, cubit satu (kemudian) terbalikkan. Cubit lagi satu lepas tu buang,” responsnya.
Mendengar kenyataan Hamba Allah itu menyebabkan Alif terkesima dan tergamam buat seketika. Beliau pun bertanya kepadanya, kenapa ikan itu tidak dihabiskan.
“Takpelah, ikan kan murah. Makan sikit lepas tu buang. Lepas tu, beli yang baru,” jawab Hamba Allah itu secara spontan.
Semasa berada dalam situasi itu, Alif tidak dapat menyangka bahawa apa yang diujarnya bakal menjadi satu peringatan terbesar buat dirinya.
Berapa bulan selepas kejadian tersebut, beliau telah mendapat mesej daripada kru penggambaran tersebut. Ini menjadi satu kehairanan apabila beliau sudah menamatkan sesi penggambaran untuk drama terbabit.
MINTA TOLONG SEMUA
“Alif, minta tolong boleh tak? Kita tengah jaga mak kita ni. Mak kita sakit, takde duit nak beli makanan,” tulisnya.
Seusai membaca mesej tersebut, beliau terus tersentak dan mindanya secara automatik mengimbas apa yang pernah diujarkannya beberapa bulan lepas.
Pada akhir kisah tersebut, Alif mengingatkan orang ramai bahawa manusia tidak akan mengetahui apa jenis rezeki atau dugaan yang akan datang pada masa depan.
Oleh sebab itu, beliau memberitahu bahawa kita perlu menzahirkan rasa syukur atas apa yang ada pada masa sekarang.
Selain itu, Alif turut mengingatkan pengikutnya untuk sentiasa beringat ketika berbuka puasa, khususnya jika mengunjungi bufet Ramadan.
Sumber; alifsatar via Instagram